Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKP: Jakess jadual semula prosiding kes di mahkamah syariah

SHAH ALAM, 13 JAN: Prosiding semua kes yang ditetapkan di mahkamah syariah negeri pada 13 hingga 26 Januari dijadualkan semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) berkata kes rayuan yang ditetap pendengarannya di hadapan panel hakim diteruskan seperti dijadual secara dalam talian.

“Urusan wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan, sebutan bagi kes mendesak atau kes yang mempunyai tempoh had masa boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan dan persetujuan bersama plaintif atau defendan.

“Manakala, perkhidmatan runding cara dilaksana secara dalam telefon,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Jakess berkata perkhidmatan pendaftaran kes baharu tanpa janji temu di kaunter mahkamah terhad kepada pendaftaran kes mendesak sahaja.

Jelasnya, kes mendesak membabitkan keganasan rumah tangga, penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan.

“Kes mendesak mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan. Manakala, perkhidmatan kaunter bagi urusan lain ditangguh kecuali pemfailan dokumen melibatkan tempoh masa iaitu Alasan Rayuan dan Rekod Rayuan.

“Semua janji temu yang dibuat melalui aplikasi Temujanji Perkhidmatan Jakess sepanjang tempoh PKP juga dibatalkan dan mereka perlu membuat janji temu baharu selepas tamat tempoh itu,” katanya.

Orang ramai boleh merujuk garis panduan operasi Jakess melalui laman sesawang http://www.jakess.gov.my.


Pengarang :