Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
AGENSISELANGOR

PKP: Jakess susun semula operasi libat tarikh prosiding kes

SHAH ALAM, 28 JAN: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menjadualkan semula operasinya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 4 Februari depan.

Unit komunikasi korporatnya memaklumkan penyusunan itu membabitkan tarikh prosiding kes termasuk sebutan atau pengurusan kes, perbicaraan, Majlis Sulh dan Majlis Tahkim.

Menurutnya, pada masa sama mahkamah juga akan memberi keutamaan kepada kes lama dan kes yang mempunyai elemen keterdesakan.

“Oleh itu, orang awam digalakkan untuk meneruskan semua prosiding secara dalam talian bagi mengurangkan jumlah pelanggan yang hadir ke premis mahkamah sekali gus mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Perkhidmatan kaunter pendaftaran kes baharu bagi semua kes, wakalah dan pentadbiran afidavit dibuka semula, tetapi dengan temu janji awal melalui aplikasi di https://www.picktime.com/jakess,” katanya dalam kenyataan.

Jakess turut mengingatkan, kehadiran tanpa kaedah itu tidak akan dilayan kecuali melibatkan kes mendesak seperti keganasan rumah tangga dan penderaan.

“Bagi kes yang mempunyai tempoh had masa tetapi tidak berjaya mendapat slot temu janji, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi membolehkan pendaftar menetapkannya secara manual.

“Perkhidmatan runding cara am dan runding cara Bahagian Sokong Keluarga dalam talian telefon akan diteruskan seperti biasa,” katanya.


Pengarang :