Selangorkini
Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PKP: Mesyuarat bersemuka masih dilarang, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kerajaan sekali lagi menegaskan mesyuarat secara bersemuka adalah dilarang, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata larangan dan tatacara operasi piawai (SOP) itu terpakai kepada semua pihak, termasuk kementerian dan agensi kerajaan.

“Tiada siapa yang terkecuali dalam arahan atau peraturan ini dan tiada sebab ada (dalam) kalangan kementerian atau agensi untuk berbuat demikian.

“Kita tak mahu ada double standard (pilih kasih) dalam peraturan. Malah, sidang mesyuarat khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) juga dilaksanakan secara maya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP, di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan terdapat agensi kerajaan dan organisasi lain yang mengadakan mesyuarat secara bersemuka dalam tempoh PKP ketika ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan semua pemilik premis perniagaan agar akur dengan senarai jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Jelasnya, senarai perniagaan atau perkhidmatan perlu serta rantaiannya telah dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Tak kira premis itu dalam pusat beli belah, hypermarket (pasar raya besar) atau tepi jalan sekalipun, SOP dan senarai terlarang tetap sama. Jika yang buka (bagi senarai telarang), ini (adalah) pelanggaran SOP dan tindakan boleh diambil,” katanya.

Mengenai aduan kelewatan bantuan disalurkan kepada keluarga yang terpaksa dikuarantin bersama ahli keluarga pesakit Covid-19, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Beliau menyarankan agar individu terlibat segera melaporkan kepada KKM atau pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mendapatkan bantuan kesihatan, bagi bekalan makanan pula adalah di bawah tanggungjawab keluarga sendiri.

– BERNAMA


Pengarang :