PBTSELANGOR

PKP: MPS jamin khidmat sisa pepejal, selenggara beroperasi

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi jaminan sistem perkhidmatan di kawasan pentadbirannya berfungsi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata perkhidmatan itu meliputi pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan penyelenggaraan.

“Ini sememangnya fokus utama kami bagi memastikan perkhidmatan perbandaran tidak terganggu namun akan dilaksana mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mempergiat rondaan dan pemeriksaan dari masa ke masa bagi perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP selain membantu polis memantau pematuhan SOP.

Menurutnya anggota penguat kuasa ditempatkan di pasar awam kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi memastikan tiada peniaga atau pengunjung melanggar arahan.

“Penyelia pasar awam lain juga dinasihatkan mengambil langkah sama dan kita akan menjalankan pemantauan di pasar berkaitan sepanjang tempoh berkenaan.

“Jika ada peniaga yang gagal mengikut arahan, mereka boleh dikenakan notis pematuhan lesen dan penutupan,” katanya.


Pengarang :