AGENSISELANGOR

PKP: Operasi kutip sampah KDEBWM seperti biasa, patuh SOP

SHAH ALAM, 15 JAN: Operasi kutipan sampah KDEB Waste Management (KDEBWM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini masih berjalan seperti biasa.

Pengarah urusannya berkata bagaimanapun pihaknya terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan pekerja selamat sekali gus membolehkan operasi berjalan lancar.

“Antara langkah diambil ialah pekerja subkontraktor termasuk pemandu lori kompaktor, krew kutipan dan penyelia hendaklah memakai alat perlindungan diri (PPE) dan menggunakannya semasa menjalankan tugasan.

“Buat masa ini kita perlu memastikan semuanya dalam keadaan selamat bagi mencegah wabak penularan wabak penyakit yang semakin membimbangkan ini,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan.

Beliau berkata antara langkah lain diambil ialah pekerja terlibat dinasihatkan kerap mencuci tangan dan menggunakan alat pembasmi kuman serta sentiasa menjaga kebersihan.

“Mereka juga dinasihatkan untuk mengurangkan kontak dengan orang awam. Untuk tujuan tersebut, semua warga kerja dan krew subkontraktor digalakkan membawa sendiri makanan ke pejabat atau tempat kerja.

“Sebolehnya mereka tidak digalakkan untuk berada terlalu lama di premis awam tanpa tujuan sebaliknya menumpukan perjalanan dari lokasi rumah ke tempat kerja dan pejabat kerajaan berkaitan dengan operasi kerja sahaja,” katanya.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Pengarang :