Sebahagian dari 300 pekerja Top Glove yang dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 23 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPP seluruh negara dilanjut lagi hingga 31 Mac

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dilanjutkan lagi mulai hari ini hingga 31 Mac depan.

Bagaimanapun perintah itu tidak melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah serta lokaliti-lokaliti tertentu yang diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati peningkatan ketara kes Covid-19 masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan. Peningkatan kes disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja asing yang dijalankan secara besar-besaran dan juga akibat berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan, terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKPP hari ini.

PKPP yang dilaksanakan kerajaan sejak 10 Jun lalu dijadualkan tamat semalam.

Menurut Ismail Sabri, segala tatacara operasi piawai (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata aktiviti di dalam pub dan kelab malam kecuali perniagaan restoran di dalam premis tersebut masih dilarang di kawasan PKPP selain aktiviti dengan kehadiran ramai sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal turut dilarang.

“Aktiviti pelancongan adalah berdasarkan ketetapan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum ini namun perlu mematuhi SOP yang ketat,” jelasnya.

Mengenai pasukan petugas khas operasi pematuhan, beliau berkata Polis Diraja Malaysia menahan 347 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 337 dikenakan kompaun dan 10 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” katanya.

Bagi Op Benteng, seramai 31 lagi pendatang tanpa izin berjaya ditahan dan lima kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan semalam.

Berhubung pemeriksaan di tapak binaan pula, katanya sejak 20 April hingga semalam, sebanyak 14,124 jumlah pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,029 tapak pembinaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 10 tapak pembinaan di seluruh negara dan kesemua tapak pembinaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata Ismail Sabri.

-BERNAMA


Pengarang :