Pengunjung mendapatkan barangan basah dan kering melalui Lori Selangor Agro Market anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7,Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS cipta peluang kerja, jual barangan melalui pasar bergerak 

SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengenal pasti individu hilang pekerjaan yang memiliki lori atau van untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata peluang berniaga melalui Lori Selangor Agro Market membantu golongan terjejas meraih pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Datuk Abdul Ghariff Ramin menjelaskan individu terlibat akan dibekalkan produk dari ladang perbadanan itu untuk dijual kepada komuniti setempat.

“Selepas dikenal pasti, kita akan tampal pelekat tertera logo perkhidmatan sebelum boleh beroperasi secara bergerak,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jelasnya, harga barangan makanan segar yang ditawarkan melalui lori bergerak PKPS murah 30 peratus berbanding pasaran bagi meringankan beban pembeli.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan harian malah mereka tidak perlu bersusah-payah ke pasar untuk membeli barangan basah,” kata Abdul Ghariff lagi.

PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih di semua daerah pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.


Pengarang :