Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi tabik hormat kepada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ketika berangkat pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Melawati pada 17 Ogos 2020. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Agong boleh masyhur ordinan ketika darurat

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan ordinan yang perlu mengikut keadaan semasa ketika pelaksanaan darurat, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ordinan itu merangkumi hal berkaitan penggunaan aset, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih serta penggunaan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

“Bagi menghalang sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang yang keterlaluan,
boleh dimasyhurkan oleh baginda, dengan hukuman lebih berat boleh dibuat. Semua ordinan
yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong ini akan diwartakan dan diketahui oleh rakyat,”
katanya dalam pengumuman khas darurat Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kuasa sedia ada di bawah polis menerusi tatacara kanun jenayah, dengan ATM juga boleh diperuntukkan kuasa membantu melaksana kawalan berhubung kesihatan awam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 


Pengarang :