Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melalui siaran langsung, pada 18 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM umum Permai nilai RM15 bilion, 22 inisiatif perangi Covid-19

SHAH ALAM, 18 JAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif untuk perangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan perniagaan.

Beliau mengumumkan pakej bantuan itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat dilaksanakan di negara ini yang disiarkan secara langsung melalui media utama.

“Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.

Muhyiddin berkata di bawah matlamat memerangi wabak Covid-19, kerajaan  menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta agensi lain.

Perdana menteri berkata penyediaan peruntukan itu menumpukan kepada bekalan, antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutamanya kepada petugas kesihatan.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan PKP di beberapa negeri untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari sehingga 26 Januari.

Kerajaan turut melaksanakan PKP di seluruh Kelantan dan juga Sibu, Sarawak bermula 16 Januari berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Berikut adalah inisiatif yang diumumkan:

– Pemberian sekali gus RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, RM300 kepada petugas barisan hadapan lain mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

– Kerajaan tambah lebih 3,500 petugas kesihatan yang akan bertugas hujung Januari, dengan peruntukan tambahan RM150 juta.

– Moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank- bank, seperti yang diumumkan sebelum ini.

– JKM akan laksana Program Bakul Makanan bernilai RM100 ringgit bagi setiap isi rumah layak.

– Pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 bagi pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

–  Bayaran fasa terakhir BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari 2021.

– Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, semua majikan yang beroperasi semasa PKP layak untuk memohon tanpa mengambil kira sektor.

– Pemberian percuma data 1 Gigabit kepada orang ramai termasuk bagi tujuan pendidikan mulai awal bulan ini hingga April.

– Bantuan sekali gus RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi serta pemandu bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-panggilan.

– KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir.

– Program Subsidi Upah 3.0 melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dijangka dapat memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

– Program Subsidi Upah – Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000, had pekerja 500.

– Kerajaan benarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang- kurangnya 75 peratus.

– Kerajaan sedia peruntukan awal RM200 juta bantu ringankan beban rakyat terjejas akibat banjir.

– RM50 juta disalur kepada NADMA bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.

 

 


Pengarang :