Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi menyampaikan ucapan ketika program Majlis Jelajah Presiden ke Negeri Selangor 2020 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 7 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

PN ‘retak’, PAKATAN harus perkukuh kerjasama hadapi PRU15

SHAH ALAM, 4 JAN: Hubungan politik parti mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dalam keadaan retak menanti belah, kata ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor.

Najwan Halimi berkata perkembangan politik mutakhir ini menyaksikan bibit perpecahan ketara antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara, 189 bahagian menyatakan pendirian rasmi menolak kerjasama politik dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi pimpinan dan pendukung Pakatan Harapan (PAKATAN) bahawa mana-mana kerjasama politik dibentuk menerusi muslihat, penipuan serta pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran memalukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik juga menggesa parti komponen PAKATAN mengambil peluang itu untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi PRU15.

Jelas Najwan, gabungan tersebut perlu bergerak lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan rakyat seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya dalam pilihan raya tersebut.

“Justeru, dalam situasi sempang peranang sedang melanda PN ketika ini, PAKATAN seharusnya mengambil ruang dan ikhtibar memperkukuhkan kerjasama di antara parti komponen KEADILAN, DAP dan AMANAH serta siap siaga untuk menghadapi PRU15 dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.


Pengarang :