SELANGOR

Polis Selangor selesai 31 kes tipu pinjaman wang, tahan 14 individu

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 51 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud (PTW) membabitkan kerugian RM617,758.70 berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 13 hingga 25 Januari, kata polis Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata 14 suspek ditahan dan 31 kes berjaya diselesaikan.

“Penipuan ini menggunakan platform media sosial untuk mencari mangsa dengan menawarkan pinjaman pada kadar faedah lebih rendah berbanding institut kewangan berdaftar.

“Mangsa yang terpedaya akan diarah membuat bayaran wang proses sebelum mereka menghilangkan diri. Ini menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Muhammad Yazid, jumlah kes dilaporkan itu meningkat 24.40 peratus berbanding 41 kes dicatatkan tahun lalu dalam tempoh sama manakala kerugian meningkat 12.80 peratus berbanding RM547,686.86 tahun lalu.

“Orang ramai diminta berhati-hati membuat pinjaman wang terutama menerusi sistem dalam talian. Lakukan semakan di aplikasi Semakmule CCID atau laman sesawang www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan ditipu,” katanya.


Pengarang :