Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis: Tiada peraturan saman individu tidak pakai sarung tangan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Tidak ada individu yang disaman kerana tidak memakai sarung tangan dalam penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19 seperti yang tular di media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata setakat ini juga tidak ada peraturan yang mewajibkan pemakaian sarung tangan dalam SOP seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) hanya menguatkuasakan peraturan seperti yang digariskan dalam SOP MKN.

“Sekiranya ada sebarang kekeliruan timbul bolehlah merujuk kepada Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Malaysia Bukit Aman untuk pengesahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Acryl Sani berkata pemakaian sarung tangan tidak wajib tetapi PDRM menggalakkan pemakaiannya bagi membolehkan usaha mencegah pandemik itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Semalam, tular di laman sosial Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali melaksanakan operasi penguatkuasaan SOP mencegah Covid-19 di daerah berkenaan dengan turut dipaparkan seorang pekerja wanita sebuah premis dikenakan saman ketika operasi itu.

Media hari ini melaporkan pekerja pasar raya di Presint 8, Putrajaya itu disaman bukan kerana tidak memakai sarung tangan tetapi kerana tidak mematuhi SOP lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata kompaun kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikeluarkan kepada pekerja pasar raya borong di Presint 8, Putrajaya Ahad lepas, kerana wanita itu didapati tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan tidak memeriksa suhu badan sebelum memulakan tugas pada syif pagi.

Beliau berkata pekerja tersebut turut dinasihatkan memakai sarung tangan kerana berurusan dengan ramai pelanggan di kaunter bayaran, namun video berdurasi 55 saat yang tular itu disalah tafsir seolah-olah individu berkenaan disaman kerana tidak memakai sarung tangan.

Ahad lepas, Mohd Fadzil meninjau operasi pematuhan SOP di kedai makan, pasar raya dan kawasan komersial di sekitar Putrajaya termasuk di Presint Diplomatik dan Presint 8.

Video itu dikongsi dalam laman Twitter bertajuk “Okay so now gloves is mandatory?” menimbulkan rasa tidak puas hati netizen dan mempersoal kefahaman polis tentang SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Berdasarkan catatan menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 10 Ogos 2020, pemilik premis perniagaan di seluruh negara wajib menggunakan aplikasi MySejahtera bagi merekodkan maklumat pelanggan terutamanya nama dan nombor telefon. Namun begitu, penggunaan buku rekod secara manual juga dibenarkan bagi premis di kawasan luar bandar atau tidak mempunyai liputan Internet.

-BERNAMA


Pengarang :