Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 di Serdang pada 19 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pusat kuarantin Maeps dijangka atasi beban hospital – MB

SEPANG, 19 JAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang dijangka mampu menangani beban hospital bagi mengurangkan jumlah pesakit.

Dato’ Menteri Besar berkata pusat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) itu dibuka semula Disember tahun lalu dan mempunyai 9,000 katil.

“PKRC ini sedang berkembang kepada pusat rawatan bersepadu Covid-19 diusahakan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta beberapa jabatan lain.

“Ia sekali gus menjadikan pusat rawatan dan kuarantin pertama di Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan. Saya juga percaya ia mampu kurangkan bebanan hospital yang ditanggung kini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas sesi taklimat dan lawatan pusat kuarantin tersebut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut serta, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah PKRC Maeps 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim.

Sebelum ini pusat berkaitan dibuka pada Mac tahun lalu tetapi ditutup pada Julai namun kembali beroperasi pada 6 Disember dikenali PKRC Maeps 2.0.

Pada 24 Januari pula, Hospital Bersepadu Maeps akan bermula bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi ke hospital.


Pengarang :