Selangorkini
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat penilaian Covid-19 dijangka mula operasi minggu depan

PUTRAJAYA, 21 JAN: Pusat penilaian Covid-19 dijangka memulakan operasi minggu depan untuk menyelaras serta mengintegrasi hospital awam dan swasta dalam menguruskan kes pandemik berbahaya itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada Sabtu depan, pihaknya akan mengadakan perbincangan ketiga dengan hospital swasta untuk meneliti butiran dan pelaksanaan teknikal bagi pusat itu.

“Kami akan membincangkan semua isu yang ada dan cuba menyelesaikannya selain menyelaras proses kerja dalam rundingan meja bulat antara sektor awam dan swasta.

“Jadi kami berharap apabila kami menubuhkan pusat penilaian Covid-19 itu, sesetengah kumpulan pesakit boleh diuruskan oleh sektor swasta,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sejak gelombang kedua Covid-19 melanda negara ini, sektor swasta sudah menghulurkan bantuan kepada kerajaan termasuk menggerakkan pakar dan kakitangan mereka untuk bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham berkata penyelarasan yang bakal dilakukan bukan hanya dari segi pengurusan pesakit Covid-19 malah mereka turut melihat kepada pusat haemodialisis kerana kebanyakan kes haemodialisis bergantung kepada sektor kesihatan swasta.

“Sebagai contoh di Tawau, Sabah, kakitangan swasta di sebuah pusat haemodialisis telah dijangkiti dan dikuarantin namun perkhidmatan perlu diteruskan kerana jika tidak, pesakit tidak mempunyai akses kepada haemodialisis.

“Justeru, kami daripada sektor awam telah menghantar kakitangan kami untuk mengendalikan perkhidmatan di sana,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka meningkatkan kapasiti makmal Covid-19 yang menjalankan ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) antara 100,000 hingga 150,000 setiap hari.

“Setakat ini, kita mempunyai 68 makmal yang menjalankan 70,000 ujian RT-PCR setiap hari dan keupayaan makmal ini akan dipertingkat. Kita juga akan tambah saringan Covid-19 dengan menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag),” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), universiti swasta serta makmal swasta diperlukan bagi meningkatkan kapasiti makmal.

“Kami menggalakkan pihak swasta untuk tampil dan membantu meningkatkan kapasiti makmal… kita perlu memaksimumkan penggunaannya,” kata beliau.

Mengulas peningkatan kes dan kluster yang mempunyai kaitan dengan pengebumian, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesyorkan agar majlis itu tidak dihadiri lebih 20 orang bagi mengelak potensi dijangkiti.

“Sememangnya kami faham bahawa majlis pengebumian mempunyai kaitan dengan kesensitivitian budaya malah agama yang juga merupakan satu situasi penuh emosi namun kami berharap mereka yang terlibat akan mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) ditetapkan dan mendapatkan permit polis terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :