Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pusat Penjaja Puchong Permai sedia beroperasi, miliki lot niaga luas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat niaga yang menempatkan penjaja sekitar Puchong Permai kini sedia digunakan, maklum Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya dalam kenyataan berkata kawasan yang dilengkapi struktur berbumbung dibina pada 1 Julai tahun lalu dengan kos RM280,230.

Azfarizal Abdul Rashid menjelaskan ia boleh memuatkan 64 lot tapak penjaja bersaiz 10×10 kaki setiap satu selain penyediaan kiosk berukuran 6×3 kaki.

“MBSJ berharap penjaja dapat memanfaatkan kemudahan disediakan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan aduan di Bulatan Puchong Permai,” katanya menambah kawasan berkenaan turut dilengkapi taman permainan dan parkir yang luas.

Jelas Azfarizal, pusat penjaja baharu itu berada dalam kawasan strategik iaitu bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Beliau berkata bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan kawasan tersebut pula akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola mulai tahun ini.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai kerana melanggar syarat permit sementara.

MSBJ dalam kenyataan semalam berkata penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka meminta tempoh sehingga November 2020.


Pengarang :