Covid-19 tidak mengenal sempadan, tanpa mengira status bangsa, agama atau nilai harta anda, tambahan lagi jika anda seorang petugas kesihatan di barisan hadapan medan perang ini. Foto: Sumber Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Rakyat jangan putus asa, beri ruang buat petugas barisan hadapan – Anwar

SHAH ALAM, 17 JAN: Rakyat di negara ini diminta tidak berputus asa meskipun jangkitan harian Covid-19 terus meningkat sehingga mencecah lebih 4,000 kes, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang menasihatkan orang ramai terus menjaga kesihatan bagi membolehkan petugas barisan hadapan mendapat ruang untuk bernafas.

“Sikap mulia begini adalah yang paling mudah untuk dipraktikkan dan secara tidak langsung akan menguatkan komitmen kita dalam mencari jalan keluar dari kemelut ini.

“Terus tingkatkan disiplin diri dengan patuhi tatacara operasi piawai (SOP), pakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak masing-masing serta kerap basuh tangan. Jika tidak ada keperluan, jangan keluar rumah,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson turut meminta rakyat terus meningkatkan peranan masing-masing sementara kerajaan bekerja lebih untuk mengembalikan keyakinan.

“Rakyat sedang menderita. Saya mendoakan kita jangan putus asa dan terus berusaha. Pengajaran dari tahun lalu itu sangat penting, dan jadikan ia sebagai dorongan untuk jadi lebih baik tidak hanya untuk diri sendiri namun untuk semua juga,” katanya.


Pengarang :