Orang ramai beratur menunggu giliran menjalani saringan dalam program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Rakyat puji Kerajaan Selangor anjur saringan Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 7 JAN: Seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam antara yang hadir menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri hari ini.

Abdul Jalil Sabri, 50, berkata dia hadir bersama isteri dan enam anak membuat saringan demi keselamatan orang sekeliling.

“Saya memang sudah berniat untuk jalani saringan sebab berasa was-was dan khuatir sekiranya ada dalam kalangan kami yang dijangkiti Covid-19.

“Jadi, ini antara cara yang saya boleh lakukan untuk kebaikan sekeluarga dan orang sekeliling selain menjaga kebersihan serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini hari ini.

Siti Nur Haliza Abdul Wahab, 24, menjalani ujian calitan dalam program saringan komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Klang pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau yang menetap di Kuarters BBP Seksyen 15 juga memuji usaha Kerajaan Selangor melaksanakan ujian bersasar secara percuma selain mengalakkan lebih ramai penduduk melakukan saringan.

“Orang ramai perlu ambil peluang ini kerana bagi saya tiada apa yang merugikan. Hanya luangkan masa beberapa minit untuk melakukan perkara yang memberi kebaikan bersama,” katanya.

Bagi Juruteknik, Mohd Fikri Abdul Rahim, 31, dia membawa isteri dan dua anak melakukan saringan kerana menjadi kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani kuarantin di rumahnya.

“Setakat ini, adik ipar saya kuarantin dalam bilik sementara menunggu panggilan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Walaupun dua hari lepas saya sudah jalani saringan di sebuah klinik swasta tetapi tetap mahu buat ujian percuma ini kerana bimbang tahap keselamatan diri lebih-lebih lagi apabila tinggal serumah dengan individu positif,” katanya.

Sementara itu, pegawai pemasaran, Siti Nurhaliza Abdul Wahab, 24, berkata majikan mengarahkan dia bersama empat lagi rakannya menjalani saringan selepas terdapat kes positif di tempat kerja.

“Kebetulan hari ini cuti, jadi kami berlima sepakat datang ke sini untuk membuat saringan,” katanya.

 


Pengarang :