Seorang wanita Kelainan Upaya (OKU) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam sebagai langkah pencegahan Covid-19 ketika tinjauan di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ras Adiba cadang wujud talian khas komuniti OKU

TEMERLOH, 27 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dicadang mewujudkan sebuah talian khas buat komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu mereka berdepan dengan situasi mencabar pandemik wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi berkata situasi mencabar yang dihadapi sekarang menyebabkan sebilangan besar OKU tertekan selain kajian antarabangsa sebelum ini juga menunjukkan golongan tersebut antara yang berisiko tinggi untuk membunuh diri akibat kemurungan serius.

Beliau yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral berkata walaupun buat masa ini terdapat talian kasih di bawah kementerian itu, namun ia tidak khusus kepada golongan OKU yang memerlukan pendekatan dan mempunyai keperluan berbeza daripada masyarakat umum.

“Mereka juga mungkin bimbang untuk menghubungi talian sedia ada kerana memikirkan ada kemungkinan diketawakan atau apa yang cuba disampaikan tidak difahami sepenuhnya oleh pihak di sana.

“Justeru talian khas ini membolehkan mereka berhubung secara terus dengan pakar psikiatri atau kaunseling untuk mendengar dan berkongsi masalah yang dihadapi supaya komuniti OKU tidak merasakan seperti tersisih dalam situasi semasa,” katanya.

Ras Adiba berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat OKU yang terjejas banjir di Pusat Khidmat Mesra Rakyat Ahli Parlimen Kuala Krau di sini hari ini, yang turut dihadiri Penaung Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Parlimen Kuala Krau Datin Seri Nor Azimah Abdul Mubin.

Sumbangan sebanyak 300 bungkusan barangan keperluan sumbangan Yayasan Sime Darby yang disalurkan menerusi Persatuan OKU Sentral itu juga disampaikan kepada Madrasah Ad-Dinniah Al-Ismailiah di Kampung Paya Jauh di sini, yang turut terjejas banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyeru supaya mereka yang berkelayakan dalam bidang kaunseling, psikiatri dan psikologi serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyokong usaha mewujudkan talian khas tersebut.

Persatuan OKU Sentral, menurut Ras Adiba kini giat turun padang bertemu dengan komuniti OKU dan ibu bapa serta penjaga mereka bagi memberi sokongan moral dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi.

Sementara itu, seorang penerima P. Saraswathy, 44, yang mempunyai anak istimewa P. Danusha, 13, berkata sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka sekeluarga selepas rumah mereka di Taman Mewah, Kuala Krau dinaiki air selama 10 hari mulai 3 Jan lalu.

“Kami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan tergesa-gesa kerana air naik terlalu laju menyebabkan banyak keperluan anak termasuk lampin pakai buang rosak kerana hanya sempat mengambil beberapa bungkusan sahaja selain susu khas anak,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Sementara itu, pengurus bencana madrasah terlibat, Muhammad Yani Ariffin, 54, berkata banjir lebih seminggu yang bermula sejak 5 Jan lalu menyebabkan keseluruhan bangunan di tanah seluas lebih dua hektar itu termasuk 180 pondok untuk warga emas dan pelajar dinaiki air.

– BERNAMA


Pengarang :