AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0300/0350 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini dan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain menjelang cuti hujung minggu.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.0300/0350 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0320 pada penutupan hari Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata pasaran terus menerima keputusan mengekalkan kadar selepas Bank Negara menyifatkan pendirian dasar semasa sebagai “sesuai dan akomodatif” dengan sebahagian daripada pelabur kini menjangkakan peningkatan kadar faedah seawal suku kedua tahun ini.

“Ekonomi Malaysia sangat responsif terhadap kelonggaran dalam sekatan pergerakan sebelum ini. Apa yang difikirkan masa ini ialah sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya pada akhir Februari ataupun lebih awal, pengguna akan membantu meningkatkan kembali ekonomi sementara pakej PERMAI yang diumumkan minggu ini akan turut memberikan rangsangan.

“Dan dengan inflasi dijangka meningkat tahun ini walaupun dalam situasi kadar faedah terus dikekalkan, dorongan inflasi akan menawarkan pelonggaran nyata yang sederhana,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion pada Isnin, merangkumi 22 inisiatif bagi memerangi pandemik Covid-19 serta mengurangkan kesannya kepada masyarakat dan ekonomi.

Innes juga berkata pelabur tukaran asing terus memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar dengan unjuran harga minyak akan meningkat dan ini sudah pasti akan memberikan kenaikan besar kepada ringgit.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar AS kepada 3.0440/0490 daripada 3.0441/0481 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.8918/8974 daripada 3.8944/8987.

Sementara itu, unit tempatan lemah berbanding pound Britain kepada 5.5316/5401 daripada 5.5312/5380 dan susut berbanding euro kepada 4.9033/9098 daripada 4.8904/8965.

– BERNAMA


Pengarang :