Gambar hiasan
AGENDAEKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.0420/0450 berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan kekurangan minat belian walaupun prestasi dolar US merosot, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan didagangkan pada 4.0420/0450 berbanding dolar US daripada 4.0410/0460 sewaktu ditutup semalam.

Penganalisis berkata unit negara maju itu merosot susulan peningkatan selera risiko yang mendorong kestabilan harga minyak, penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10-tahun dan berita positif mengenai vaksin Covid-19.

“Sentimen pada masa ini dilihat membina untuk ringgit, namun pasaran dijangka melaksanakan pendekatan tunggu dan lihat menjelang keputusan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell ke atas kadar faedah AS pada lewat malam ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata unit tempatan dijangka kekal stabil seiring dengan peningkatan positif harga tenaga pada minggu ini.

“Mengenai keputusan Powell, diharapkan beliau akan menyatakan kepada Fed AS untuk mengekalkan kadar faedah rendah bagi tempoh yang panjang,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0471/0512 daripada 3.0498/0543 pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 3.8895/8935 daripada 3.8912/8964 semalam.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9163/9216 daripada 4.9252/9325 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.5173/5230 daripada 5.5313/5398 semalam.


Pengarang :