Jururawat menyediakan dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 kepada kakitangan perubatan di Nouvel Hopital Civil, Strasbourg, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDA EKONOMI

Ringgit dijangka terus kukuh, pelabur tumpu program suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Ringgit dijangka terus meningkat kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan para pelabur memberi perhatian kepada kemajuan program pemvaksinan Covid-19.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata ringgit boleh meningkat lebih tinggi untuk mencecah RM4.03 berbanding dolar AS minggu depan jika terdapat perkembangan positif mengenai pelaksanaan vaksin tersebut.

“Jika tidak, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan dijangka mengekang peningkatan ringgit dan mungkin menyebabkan penyusutan,” katanya kepada Bernama.

Program suntikan vaksin Covid-19 Malaysia akan bermula pada Februari, dengan kapasiti ujian sebanyak 150,000 dos sehari yang disasarkan dicapai pada pertengahan tahun ini.

Pada 11 Jan lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia dijangka menerima vaksin Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama iaitu pada akhir Februari.

Dalam perkembangan lain, Adam berkata kemajuan pakej bantuan ekonomi bernilai US$1.9 trilion yang dicadangkan Presiden AS, Joe Biden akan dipantau rapat minggu depan, memandangkan ia dapat membantu menambah baik sentimen terhadap mata wang negara pesat membangun termasuk ringgit.

“Ini pasti mempengaruhi sentimen dalam pasaran domestik kerana rangsangan boleh meningkatkan penggunaan dan permintaan terhadap barangan di luar AS dan kemudian memberi impak positif kepada eksport,” katanya.

Bagi minggu ini, dagangan ringgit bermula lemah susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, harga minyak mentah susut, kenaikan jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia serta pelaksanaan suntikan vaksin tertangguh.

Ringgit meningkat pada Rabu disokong peningkatan harga minyak mentah serta unjuran ekonomi global yang positif oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) .

Mata wang tempatan mengakhiri dagangan minggu ini dengan prestasi lebih kukuh berbanding dolar AS susulan pengesahan Moody’s Investors Service mengenai penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3 dengan unjuran stabil telah melonjakkan minat risiko dalam pasaran.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.0400/0450 daripada 4.0415/0445 minggu lepas.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0369/0416 daripada 3.0451/0485 minggu lepas dan kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8524/8575 daripada 3.8984/8021.

Ringgit turut stabil berbanding pound Britain kepada 5.5207/5291 daripada 5.5231/5288 dan tinggi berbanding euro kepada 4.8945/9021 daripada 4.9197/9246.

– BERNAMA


Pengarang :