AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dijangka teruskan aliran naik berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkatnya berbanding dolar AS minggu depan dan mencuba sekali lagi untuk melepasi paras penting di bawah 4.00 minggu depan, kata seorang penganalisis.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit dijangka meneruskan pergerakan meningkatnya sekiranya sentimen minat risiko kekal kukuh.

“Bagaimanapun, sekiranya dolar AS meneruskan lantunan semulanya atau sekiranya senario politik tempatan panas semula, gandingan dolar AS berbanding ringgit mungkin kembali semula ke paras ketahanan 4.05 sekali lagi,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu depan, katanya, pasaran akan bergantung kepada perkembangan Rizab Persekutuan AS bagi mencari sebarang petunjuk bila ia mungkin mengurangkan program pembelian aset mereka.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata ringgit diniagakan setinggi 3.9957 berbanding dolar AS semasa hari pertama dagangan tahun ini tetapi ia kemudiannya menyusut kembali berikutan sentimen positif dolar AS.

“Bagaimanapun, kami percaya ia mungkin hanya sementara kerana dolar AS terus melemah. Kami menyasarkan kemungkinan jajaran 3.98-4.04 pada minggu depan,” kata bank itu.

Bagi asas Khamis ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS pada 4.0300/0340 berbanding 4.0200/0250 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan kukuh berbanding mata wang utama kecuali dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8813/8863 daripada 3.9018/9078, naik berbanding pound Britain kepada 5.4804/4875 daripada 5.4905/4977 dan menokok berbanding euro kepada 4.9319/9384 daripada 4.9358/9427 pada Khamis minggu sebelumnya.

Ringgit, bagaimanapun, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0420/0459 daripada 3.0395/0444 sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :