Beberapa pengemudi bot dilihat menggunakan kemudahan itu untuk menyampaikan bantuan selain menjadi sumber pengangkutan utama pada musim banjir sewaktu tinjauan banjir di sekitar bandar Temerloh, Pahang pada 10 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM2 juta bantu tiga negeri pantai timur terjejas banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM2 juta kepada tiga negeri pantai timur yang terjejas.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM1 juta disumbang kepada Pahang manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing menerima RM500,000.

“Selangor bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat negeri yang dilanda musibah banjir seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor hari ini.

Dalam kejadian banjir awal bulan ini, puluhan ribu penduduk beberapa daerah terjejas susulan hujan lebat lebih 24 jam yang mengakibatkan paras air sungai utama meningkat.

Selain itu, beberapa kawasan di Perak, Johor dan Selangor turut mengalami bencana sama hingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Pakej Kita Selangor dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :