Mangsa banjir dari Taman Kota Jaya dan rumah kedai Jalan Tambatan ditempatkan di pusat pemindahan pementara Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi, Johor pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rumah dinaiki air, ibu hamil pandu dua jam cari pusat pemindahan

KOTA TINGGI, 6 JAN: Sudahlah sarat mengandung, seorang ibu muda terpaksa memandu selama dua jam setengah untuk mencari pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumahnya di Taman Kota Jaya, dekat sini, dinaiki air, awal pagi Sabtu lepas.

Meskipun keletihan, Fazila Hamdan, 29, tidak putus semangat, malah terus cekal memandu setelah satu demi satu PPS yang dikunjunginya bersama tiga anak perempuanya berusia antara tiga dan tujuh tahun, sudah penuh dengan mangsa banjir.

“Saya terpaksa memandu kereta bawa anak-anak. Mereka tidur kerana keletihan menolong mengangkat barang untuk diletakkan dalam sebuah lagi kereta dipandu suami.

“Dua PPS di Taman Daiman penuh, saya terpaksa berpatah balik ke Taman Kota Jaya. Di sini, dua PPS juga dimaklumkan penuh sehinggalah saya telefon semula Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beritahu mereka saya sarat mengandung. Akhirnya kami dapat tempat di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu di sini semalam.

Fazila, yang kini mengandung enam bulan berkata setelah rumahnya di Taman Kota Jaya dinaiki air, beliau dan suami bersama tiga anaknya keluar menyelamatkan diri dan berhasrat berlindung di PPS kira-kira 1.30 pagi.

Pasangan adik beradik Alisyah Mikayla Shahabuddin, 4, (kiri) dan Aisyah Aqilah, 3, bermain dalam khemah di pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi, Johor pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA

Beliau menaiki kereta bersama tiga anak perempuan manakala suaminya, Shahabuddin Sakiman, 34, memandu sebuah lagi kereta yang dimuatkan dengan dokumen peribadi dan perkakasan rumah.

“(Masuk) sini (PPS) dalam pukul 5 pagi lebih, baru dapat masuk anak-anak. Semua (anak) dah tidur keletihan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Fazila amat bersyukur kerana wanita mengandung sepertinya diberi keutamaan seperti peluang mendapatkan rawatan kecil dan kaunseling oleh jururawat yang bertugas di PPS.

Selain itu, kemudahan asas yang disediakan di PPS juga lengkap seperti tandas yang bersih, ruang khemah yang selesa dan diberi makan mengikut jadual.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak berikutan sukar mendapatkan tempat di PPS, suri rumah itu berkata pada hari pertama kejadian, paras air naik dengan cepat di Kota Tinggi menyebabkan banyak rumah terjejas.

Yang pasti, beliau tetap bersyukur apabila ramai mangsa banjir terdiri daripada bayi, kanak-kanak dan warga emas, tetap diberi keutamaan dalam penempatan di PPS.

-BERNAMA


Pengarang :