Seekor ayam berlindung di beranda rumah penduduk setelah Kampung Semangat di Kuantan, Pahang ditenggelami banjir pada 12 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sarawak dilanda banjir, mangsa di tiga negeri turun

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Sarawak menjadi negeri terbaru dilanda banjir manakala keadaan di Kelantan, Pahang dan Sabah beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa yang dipindahkan, namun terdapat pertambahan mangsa di Johor.

Semakan di infobanjir.water.gov.my pagi ini mendapati paras air Sungai Golok, Kuala Jambu di Kelantan dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Serambi di Pekan serta Sungai Jelai, Lipis masih melebihi paras bahaya.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini turut mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, sehingga esok (14 Jan) manakala amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Sabah sehingga hari ini (13 Jan).

Di KELANTAN, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 84 orang pada 8 pagi ini berbanding 275 orang, petang semalam.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa banjir berkenaan membabitkan jajahan Pasir Mas yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh (58 orang) dan SK Bakong (26 orang).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 147 PPS di lapan daerah adalah seramai 16,292 orang daripada 4,483 keluarga.

Daerah Temerloh masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 7,989 orang diikuti Pekan (3,172 orang), Maran (2,059), Bera (1,636), Kuantan (749), di Lipis (460), Jerantut (154 ) dan Raub (73).

Di SABAH, keadaan sama turut dilaporkan dengan penurunan mangsa banjir kepada 951 orang pagi ini berbanding 1,765 orang semalam. Setakat ini, empat daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Tongod dan Beaufort melibatkan 84 kampung terjejas akibat banjir, namun belum ada mangsa banjir dipindahkan di Tongod.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, semua mangsa terbabit ditempatkan di lapan PPS yang dibuka Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Seramai 782 penduduk Kota Marudu ditempatkan di Dewan Kampung Asin-Asin, SK Taritipan, SK Advent Damai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, manakala mangsa di Pitas ditempatkan di SK Salimpodon (41 orang), Dewan Kampung Kusilad (42 orang) dan SK Pekan II (62 orang). Di Beaufort, mangsa banjir ditempatkan di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir melibatkan 24 orang.

Di JOHOR, bilangan mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,314 orang setakat 8 pagi ini berbanding 3,274 orang pada 7.30 malam tadi, ekoran cuaca hujan dan mendung yang silih berganti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata mangsa dari Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat ditempatkan di 33 PPS, dengan Kota Tinggi masih merupakan daerah paling terjejas dengan 2,202 mangsa ditempatkan di 22 PPS, diikuti Johor Bahru dengan 922 orang, Kluang (97 orang), Segamat (76 orang) dan Pontian dengan 17 orang.

Di SARAWAK, seramai 53 penduduk terdiri daripada 32 orang di Kuching dan 21 orang di Serian dipindahkan selepas hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka dinaiki air.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan PPS di Balai Raya Taman Desa Wira mula dibuka 2.30 pagi tadi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir di taman perumahan itu.

“PPS Dewan Kampung Betong Kenawit di Serian dibuka 10.30 malam tadi selepas hujan lebat di sekitar Sungai Betong Kenawit menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan rendah,” kata Ketua Sekretariat JPBN Sarawak, Mej (PA) Ismail Mahedin.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak memaklumkan setakat ini 12 kawasan di negeri itu telah dinaiki air sejak malam tadi.

– BERNAMA


Pengarang :