Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Saringan bersasar percuma ringankan beban rakyat – Khalid Samad

SHAH ALAM, 22 JAN: Langkah Kerajaan Selangor memperluas program saringan bersasar percuma meringankan beban rakyat, kata ahli parlimen Shah Alam.

Khalid Abdul Samad berkata pendekatan diambil sejak tahun lalu memanfaatkan belasan ribu penduduk selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengesan banyak kes positif Covid-19.

“Usaha Kerajaan Negeri mengurangkan kos (penduduk) dengan adanya saringan percuma dan subsidi patut dipuji serta disokong.

“Ini antara sebab kita dapati jumlah individu dijangkiti wabak di Selangor ramai dan hakikatnya kita tidak boleh mengambil langkah menutup masalah sebenar (Covid-19),” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Klinik Selcare, Seksyen 13, di sini hari ini.

Khalid turut menggesa semua pihak terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan wabak.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM6 juta bagi meneruskan program saringan bersasar percuma yang bakal memanfaatkan 50,000 rakyat seluruh Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana melalui Pakej Kita Selangor menumpukan golongan berisiko tinggi di pusat penjagaan warga emas, pusat hemodialisis, golongan berpendapatan rendah dan mahasiswa anak Selangor.

Sehingga kini, sebanyak 19,976 ujian calitan percuma dijalankan di seluruh negeri.

DUN Kota Anggerik menawarkan saringan Covid-19 pada harga serendah RM50 kepada penduduk menggunakan kaedah RTK-Ag. Lazimnya, kos saringan Covid-19 di klinik swasta paling murah dianggarkan RM140.


Pengarang :