Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) mendengar penerangan oleh seorang petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 19 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sedia Bas Smart Selangor bawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin

SERDANG, 19 JAN: Bas Smart Selangor akan digunakan bagi membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Maeps Serdang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan khidmat bas percuma itu sedang diteliti bagi mengurangkan tempoh pesakit menunggu di rumah.

“Terdapat rungutan pesakit berada di rumah agak lama meskipun sudah sampai masa ke pusat kuarantin, namun disebabkan kes harian di Lembah Klang tinggi sejak tiga minggu lalu, sudah tentu khidmat penghantaran (pesakit) tidak mencukupi,” katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat dan melawat pusat kuarantin tersebut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah PKRC Maeps 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim.

Pada 2 April tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor untuk membawa penumpang yang tiba di lapangan terbang ke pusat kuarantin.

Tindakan itu susulan arahan kerajaan supaya penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Subang menjalani kuarantin di tempat khas bagi mengekang penularan wabak sebelum dibenarkan pulang.


Pengarang :