Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ketika berada di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SELangkah ditambah baik, bantu pengawasan kendiri pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 20 JAN: Fungsi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) ditambah baik bagi membantu pengawasan kendiri pesakit Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pembaharuan dengan kerjasama Selgate Healthcare melibatkan talian khas dan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam bagi membimbing penggunaan kit kendiri.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan dua (gejala ringan) akan diletakkan di bawah pengasingan serta pemantauan di rumah.

“Mereka akan menerima pakej penjagaan di rumah dan status kesihatan dinilai secara berterusan melalui SELangkah dari hari pertama hingga 10.

“Status kesihatan akan dihantar secara talian ke pusat kawalan di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK Selangor dan dipantau sekumpulan pegawai perubatan,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Menurut Amirudin, status kesihatan pesakit yang merosot akan dikesan oleh pusat kawalan tersebut dan dibawa ke hospital untuk rawatan selaras garis panduan Kementerian Kesihatan.

Fungsi pengasingan dan pemantauan di rumah menerusi aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama kumpulan Cosmos dari Universiti Malaya.

Pakej Kita Selangor dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :