Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor catat 1,036 kes Covid-19, tertinggi dalam negara

SHAH ALAM, 14 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat 199 kes hari ini iaitu 1,036, berbanding 837 yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu kekal merekodkan kes harian tertinggi daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

Katanya, sebanyak 795 kes dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Jumlah ini termasuk 13 kes daripada kluster baharu iaitu kluster Jalan Selayang, dua kes import dari Klang dan 239 kes lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Selangor turut mencatat tiga kematian membabitkan dua warganegara (lelaki dan perempuan) seorang warga asing (perempuan) berusia lingkungan antara 34 hingga 88 tahun.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melalui Facebook memaklumkan sebanyak 569 pesakit sembuh menjadikan keseluruhan pulih 36,049.

Menurutnya, jumlah kematian meningkat 85 orang manakala kes aktif sebanyak 7,030 daripada 43,164 kes yang dilaporkan di Selangor sejak pandemik melanda negara.

 


Pengarang :