Petugas kesihatan memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas untuk menjalani ujian makmal ketika program Saringan Komuniti Covid-19 Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor catat 889 kes Covid-19, turun berbanding semalam

SHAH ALAM, 15 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada kepada 889 kes hari ini berbanding 1,036 yang dicatatkan semalam.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun negeri itu kekal merekodkan kes harian tertinggi daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

Katanya, sebanyak 658 kes dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Jumlah itu termasuk 127 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Telok Gong dan Kluster Lintaran Lintang, satu kes import dan 230 kes lain-lain saringan,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan.

Beliau berkata Selangor turut mencatat empat kematian membabitkan penduduk tempatan iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan antara 50 hingga 79 tahun.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melalui Facebook memaklumkan sebanyak 826 pesakit sembuh menjadikan keseluruhan pulih 36,875.

 


Pengarang :