Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor fokus saringan kawasan kilang, elak kluster baharu

SHAH ALAM, 30 JAN: Selangor melaksanakan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di kilang yang berisiko tinggi berlaku perebakan wabak.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

“Kerajaan Negeri turut mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan menutup kilang yang menyembunyi kes positif pekerja serta tidak bekerjasama untuk pengesanan kontak rapat.

“Tindakan tegas ini penting bagi memutuskan rantaian serta mengelak tercetus kluster baharu di tempat kerja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Pada 6 Januari Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan program POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan yang mendaftar POIS perlu menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza.

Jawatankuasa berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi, merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Selain itu platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja selain memantau komponen POIS dan menganalisis risiko pekerja bagi melaraskan kekerapan ujian saringan.


Pengarang :