Hanya peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor Freelance bakal cipta lebih 1,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 20 JAN: Inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia dilaksana dengan kerjasama beberapa platform pekerja bebas untuk menjana pendapatan tambahan melalui ekonomi sampingan.

“Kerja ini melibatkan kemahiran tinggi seperti perkhidmatan pemasaran digital, perakaunan, pengaturcaraan, pengurusan akaun media sosial dan kerja kolar biru seperti juruelektrik, tukang paip serta pembersih rumah,” katanya ketika pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).

Pakej Kita Selangor dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

 


Pengarang :