Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon bercakap kepada Media Selangor selepas majlis penyerahan cek sumbangan kepada pasukan bolasepak Selangor FC dan Komuniti Belia Selangor (SAY) di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor, Shah Alam pada 8 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Selangor guna Stadium MBPJ tiga tahun untuk Liga-M

SHAH ALAM, 8 JAN: Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) akan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk sekurang-kurangnya tiga tahun bermula musim ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata persiapan rapi stadium yang akan menjadi gelanggang rasmi Gergasi Merah bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sedang giat dijalankan memandangkan Stadium Shah Alam kini dalam proses baik pulih.

“Untuk musim ini kita sah beraksi di stadium tersebut paling kurang pun dua atau tiga tahun dan sudah membuat persiapan untuk tujuan itu,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos baik pulih Stadium Shah Alam melibatkan penggantian bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bahagian itu mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Sementara itu, Dr Johan berkata Selangor FC membuat sedikit kelainan dengan memperkenalkan jersi ‘home’ pada penghujung Januari berbanding yang ketiga sebelum ini.

“Tahun ini kita lancarkan jersi ‘home’ terlebih dahulu diikuti ‘away’ dan ketiga pada pertengahan serta hujung Februari,” katanya.


Pengarang :