Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pelancaran Selangor Kerjaya yang dibuat secara maya pada 26 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Kerjaya tawar latihan bersama syarikat besar, ternama

SHAH ALAM, 26 JAN: Tenaga kerja terpilih menerusi program Selangor Kerjaya bakal menjalani latihan secara dalam talian bersama syarikat besar atau ternama, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka juga dibimbing seorang mentor untuk membantu memantapkan prestasi serta menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu.

“Inisiatif ini seiring usaha membantu warga Selangor meningkatkan kemahiran, latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada.

Laman web Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

“Ia situasi menang-menang kepada tenaga kerja, majikan dan Kerajaan Negeri bagi menangani pengangguran serta penawaran pekerjaan,” katanya semasa program Selangor Kerjaya di Facebook hari ini.

Beliau berkata tawaran tenaga kerja berkemahiran yang ramai mendorong kemasukan pelabur sekali gus merangsang ekonomi negeri pasca Covid-19.

“Sasaran Selangor ke arah ekonomi digital dan pertumbuhan industri bernilai tinggi bergantung kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran.

“Malah pemain utama industri aeroangkasa seperti GE Engine Services Sdn Bhd, Aerobus Malaysia dan UMW Aerospace Sdn Bhd yang beroperasi di Selangor menawarkan peluang besar kepada pencari kerja,” katanya.

Pada 26 Jun tahun lepas Amirudin berkata industri aeroangkasa di Selangor mampu mewujudkan 40,000 peluang kerja dalam tempoh sepuluh tahun.


Pengarang :