Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor negeri pertama kendali bicara kes rayuan syariah secara maya

SHAH ALAM, 16 JAN: Selangor menjadi negeri pertama di negara ini berjaya melaksanakan perbicaraan kes rayuan mahkamah syariah secara dalam talian.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) berkata perbicaraan itu dilakukan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Rabu lalu hingga 26 Januari depan.

Menurutnya, sebelum PKP dilaksana, sebanyak enam kes sudah ditetapkan tarikh pendengarannya.

“Bagi memastikan kes tersebut tidak tertunggak dan dapat diteruskan pendengarannya di hadapan hakim dengan persetujuan pihak terlibat, maka ia diteruskan secara maya tanpa kehadiran mereka ke mahkamah.

“Ia sekali gus menjadikan Selangor negeri pertama berjaya menjalankan prosiding perbicaraan bagi kes Mahkamah Rayuan Syariah secara dalam talian sejak PKP dikuat kuasa,” kata jabatan itu menerusi kenyataan.

JAKESS menambah, sejak PKP dilaksana pada 18 Mac tahun lalu, negeri ini juga menjadi yang pertama mengendalikan pendengaran kes dengan kaedah sama bagi kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

“Kami juga memperkenalkan beberapa perkhidmatan secara maya antaranya wakalah, afidavit, Majlis Sulh, sebutan dan pengurusan kes.

“Ini bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19 sekali gus memastikan pihak mempunyai kes di Mahkamah Syariah Selangor masih boleh mendapatkan akses perkhidmatan secara selamat,” katanya.


Pengarang :