Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 4 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor rekod 687 kes harian Covid-19, satu lagi kematian

SHAH ALAM, 4 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat 14 kes hari ini iaitu 687, berbanding 673 yang dicatatkan semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri itu merekodkan kes harian tertinggi, 39.5 peratus daripada 1,741 kes jangkitan dalam negara.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada jumlah itu, 541 kes dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Jumlah ini termasuk 109 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Duyong dan Kluster Pasar Jalan Sentosa manakala dua kes import serta 144 daripada lain-lain saringan,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, Selangor turut merekodkan satu kematian baharu membabitkan wanita tempatan berusia 68 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan jantung.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melalui Facebook memaklumkan dua kes import dilaporkan di Hulu Langat membabitkan individu yang pulang dari Mesir.

Katanya, 1,960 pesakit pulih menjadikan jumlah kumulatif sembuh 28,296 manakala kes kematian meningkat kepada 55.

Keseluruhannya, Selangor mengumpul 35,167 kes Covid-19.


Pengarang :