Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob memegang cek cura berjumlah RM500,000 sumbangan Kerajaan Selangor bagi membantu mangsa banjir negeri itu dalam sidang video bersama Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Januari 2021. Foto Facebook Dato’ Ahmad Yakob
AGENDANASIONAL

Selangor serah RM500,000 bantu mangsa banjir Kelantan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan bantuan berjumlah RM500,000 kepada Kelantan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Kelantan antara tiga negeri pantai timur selain Pahang dan Terengganu yang menerima sumbangan RM2 juta bagi meringankan beban kerajaan serta rakyat pascabencana.

Bantuan secara maya diserahkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Amirudin dalam ucapannya berkata sumbangan berkenaan sebahagian usaha membantu keluarga anak Kelantan yang berhijrah ke negeri ini.

“Ramai anak Kelantan mencari rezeki di Selangor jadi sumbangan ini diharap membantu keluarga mereka. Saya pernah merasai pengalaman melihat keadaan dan mangsa banjir yang terjejas teruk pada 2014,” katanya pada sesi penyerahan itu.

Sementara itu, Ahmad menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan terbabit selain menganggap ia tepat pada masanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Banjir pada penghujung Disember hingga awal Januari membabitkan perpindahan 10,000 mangsa, justeru bantuan ini akan diagih kepada semua yang terjejas,” katanya.

Pagi tadi, Amirudin turut menyerahkan bantuan kepada Pahang dan Terengganu yang diwakili menteri besar kedua-dua negeri. Pahang menerima RM1 juta manakala Terengganu sebanyak RM500,000.

Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor diperuntuk dalam Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari lalu bagi mendepani tempoh perintah kawalan.


Pengarang :