Penyerahan sumbangan RM1 juta oleh Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Kerajaan Pahang melalui Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 26 Januari 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor serah sumbangan banjir, nyata komitmen bantu negeri terjejas

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan bantuan kepada Pahang dan Terengganu yang terkesan teruk berikutan bencana banjir, awal bulan ini.

Bantuan sebanyak RM1 juta diserahkan kepada Pahang manakala Terengganu menerima RM500,000 melalui Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari.

Penyerahan sumbangan secara maya oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dibuat secara berasingan bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Amirudin dalam ucapannya menyatakan komitmen Kerajaan Selangor untuk terus membantu mana-mana negeri yang dilanda bencana pada masa depan.

Beliau berkata semua pihak perlu menunjukkan sifat manusiawi merentasi sempadan ketika waktu getir dengan membantu sebaik mungkin.

“Saya mewakili rakyat Selangor bersimpati terhadap musibah yang menimpa beberapa negeri terutama untuk bangkit pascabencana, justeru bantuan ini diharap meringankan beban.

“Kerajaan Selangor juga bersedia mengarahkan pasukan sukarelawan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) untuk membantu negeri terjejas,” katanya dalam sidang video.

Kerajaan Negeri mengumumkan sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM2 juta kepada tiga negeri pantai timur yang terjejas termasuk Kelantan yang akan diserahkan secara maya petang ini.

 


Pengarang :