Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sebelum merasmikan Dataran Patriotik di Kompleks Pejabat Daerah Sabak Bernam pada 11 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor terus runding pindahkan penjaja Puchong Permai

SABAK BERNAM, 11 JAN: Rundingan bersama penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berhubung penempatan lokasi baharu akan terus dilaksanakan.

Dato’ Menteri Besar berkata rancangan memindahkan penjaja berkenaan ke pusat niaga yang lebih strategik dibuat sejak dua tahun lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan walau keputusan itu sukar diterima, namun penjaja perlu berpindah dan sedia berubah.

“Memang bukan mudah namun bila ubah, suasana lebih bagus. Mungkin (permulaan) pengunjung tidak seperti sebelum ini tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi tarikan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, penempatan baharu itu juga menjamin keselesaan penduduk memandangkan lokasi ketika ini menjadi punca kesesakan jalan raya.

Majlis Bandaraya Subang Jaya sebelum ini memaklumkan Pusat Penjaja Puchong Permai yang baharu berada di kawasan strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata lokasinya yang juga bersebelahan tapak pasar tani menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.

 


Pengarang :