EXCO Kerajaan Negeri Rodziah Ismail bercakap pada sidang media di Hotel De’ Palma, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor tumpu lapan aspek utama jaya agenda pendigitalan usahawan

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri menggariskan lapan aspek utama akan ditumpukan tahun ini bagi merealisasikan agenda pendigitalan dalam kalangan usahawan dan peniaga kecil.

EXCO pembangunan usahawan berkata ketetapan itu dicapai melalui sesi sanggar kerja (retreat) bersama pemain industri baru-baru ini yang antara lain membincangkan hala tuju di bawah portfolionya.

Rodziah Ismail menjelaskan penerapan pendigitalan penting pada masa kini bagi membantu usahawan menjana pendapatan terutama dalam mendepani cabaran ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Covid-19 yang melanda negara bermula tahun lalu membuka lembaran baharu dalam strategi perniagaan dan perusahaan di Selangor.

“Bermula sekecil-kecil perniagaan dari rumah sehingga perusahaan kecil dan sederhana, penerapan pendigitalan memberi nafas baharu kepada mereka yang masih bergelut mencari jalan keluar,” katanya pada sidang media di Hotel De’ Palma di sini hari ini.

Aspek yang digariskan seperti berikut:

1. Pelesenan – Meneliti dasar atau bentuk pelesenan baharu yang perlu dikuat kuasakan

2. Pinjaman – Tidak memfokuskan pinjaman berbentuk wang ringgit sebaliknya membantu peniaga memiliki perkakas perniagaan

3. E-Dompet – Memastikan semua peniaga atau penjaja kecil menggunakan e-dompet supaya mereka bersedia memulakan langkah Selangor tanpa tunai tahun hadapan

4. Pemasaran – Menggalakkan peniaga menggunakan platform pemasaran dalam talian menerusi Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH)

5. Periklanan – Mewujudkan sebuah platform bersepadu bagi memudahkan proses pemasaran, hebahan dan periklanan

6. Media sosial – Memperbanyakkan pasaran produk atau program keusahawanan di media sosial

7. Individu berpengaruh – Menggandingkan golongan ini untuk mempromosikan produk usahawan tempatan dan program keusahawanan

8. Jelajah Usahawan Digital Selangor – Meneruskan program ini bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkemas taklimat kepada masyarakat supaya mereka dapat menceburi program bersesuaian


Pengarang :