Selangorkini
Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec), Mohd Fauzan Elham. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Seldec bakal tawar khidmat hantar makanan panas ekspres

SHAH ALAM, 13 JAN: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) akan menawarkan khidmat penghantaran makanan panas secara ekspres ke seluruh Lembah Klang bermula tahun ini.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata rangkaian diperluas susulan permintaan tinggi terhadapnya yang berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus memperkasa sektor ekonomi digital.

Menurut Mohd Fauzan Elham portal dan sistem aplikasi Seldec Rider sedang dinaik taraf bagi menubuhkan komponen tersebut melalui medium berkenaan.

“Kita menerima banyak permintaan, majoriti usahawan yang menyertai program e-bazar Ramadan Selangor tahun lalu berminat menguruskan perniagaan tersebut.

“Jika sebelum ini, pelanggan perlu membuat tempahan sehari sebelum tetapi kali ini ia akan dihantar pada hari sama dengan adanya kategori makanan panas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pembentangan hala tuju pembangunan usahawan 2021 diketuai Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail di Hotel De’ Palma di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Fauzan menjangka jumlah usahawan mikro baharu berdaftar dengan landasan perniagaan itu meningkat empat kali ganda tahun ini berbanding 800 setakat ini.

Katanya, sasaran itu mengambil kira kerjasama yang akan dijalin dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk membawa kira-kira 4,000 usahawan sebagai projek perintis dalam ekonomi digital.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd dilancar pada 24 Jun tahun lalu dengan menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en .


Pengarang :