ADN Rawang Chua Wei Kiat menyerahkan surat hak milik tanah dan notis Borang 5A kepada salah seorang pembeli asal secara pandu lalu di pejabat penghulu mukim Rawang pada 12 Januari 2021. Foto Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

Selepas 25 tahun menanti, pembeli terima surat hak milik tanah

SHAH ALAM, 15 JAN: Seramai 72 pembeli asal tanah di Taman Perindustrian Greatyear Capital, Rawang menerima surat hak milik tanah dan notis Borang 5A selepas menanti 25 tahun.

Ahli dewan negeri Rawang berkata jumlah tersebut melibatkan 105 peta lot dengan tawaran diskaun 50 peratus berbanding harga premium asal ditawarkan pada September 2019.

“Sejak 1996, pemilik di perindustrian terbabit mengalami masalah isu geran tanah disebabkan pemaju yang sudah bankrap dan tidak melaksanakan proses pecah bahagian.

“Ketika itu, pemohon sudah membuat pembayaran premium namun mereka (pemaju) tidak membuat urusan seterusnya,” kata Chua Wei Kiat ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, penyerahan notis dilakukan secara pandu lalu di pejabat penghulu mukim Rawang pada 12 Januari lalu sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Mengulas lanjut, Chua berkata pembeli terbabit diminta membuat pembayaran dalam tempoh tiga bulan untuk menikmati harga diskaun sebelum geran individu dikeluarkan.

“Saya menyeru supaya pemilik membayar premium secepat mungkin bagi menambah hasil cukai Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :