Keadaan banjir di Kampung Selisek, Hulu Selangor pada 3 Januari 2021. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Semua pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Hulu Selangor dan Kuala Selangor ditutup sepenuhnya hari ini, kata pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata PPS terakhir di Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa yang menempatkan 13 mangsa ditutup jam 4.30 petang tadi.

Terdahulu pada jam 2 petang, seramai 55 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Bestari Jaya dibenarkan pulang.

“Semalam PPS Balai Raya Kampung Baru A, Hulu Bernam dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, Selisik yang menempatkan 115 mangsa sudah ditutup,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas bencana bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir lagi susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pada Ahad beberapa kampung dilanda banjir susulan hujan berterusan yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Kejadian tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.


Pengarang :