AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sistem IG MBI perkukuh amalan kerja beretika, tingkat tadbir urus

SHAH ALAM, 11 JAN: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melancarkan sistem Integriti dan Governans MBI (IG MBI) bagi memperkukuhkan sistem kawalan dalaman, meningkatkan tadbir urus dan amalan kerja beretika dalam kalangan kakitangan serta anak syarikat.

Ketua pegawai eksekutifnya, Norita Mohd Sidek berkata sistem ini akan memberikan gambaran jelas kepada rakan strategik dan pemegang taruh MBI terhadap etika kerja serta budaya tadbir urus yang diamalkan.

“Besarlah harapan saya agar kita yang merupakan sebahagian daripada keluarga besar MBI serta anak-anak syarikat yang lain dapat bersama-sama komited dan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan IG MBI.

“Sebarang aku janji ke atas pelaksanaan integriti dan governans (urus tadbir) ini juga menunjukkan pengisytiharan kita ke atas pengukuhan tadbir urus yang telus dan berintegriti,” katanya ketika majlis pelancaran IG MBI secara maya yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Beliau menjelaskan sistem ini antaranya mengandungi dokumen penting seperti polisi pemberi maklumat, polisi klonflik kepentingan, integrity pact, polisi penerimaan dan pemberian hadiah, kod etika dan tatalaku serta polisi anti rasuah.

Norita berkata MBI sebelum ini menubuhkan Jabatan Integriti dan Governans MBI yang membolehkan jabatan ini melapor terus kepada jawatankuasa bebas di peringkat lembaga pengarah iaitu Jawatankuasa Audit, Pengurusan Risiko dan Integriti (Jari) sekiranya berlaku kesalahan membabitkan tadbir urus.

 


Pengarang :