Tangkap layar berita palsu yang tertera ayat ‘PKPD di Selangor serta-merta, bermula 12 Disember 2020 dan semua pintu masuk dan keluar Selangor’ yang tular di media sosial.
AGENDANASIONAL

SKMM minta kerjasama orang ramai lapor sebaran berita palsu

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Orang ramai diminta memainkan peranan dengan melaporkan tentang berita palsu dan mengelirukan yang disebarkan di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terutama ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kurangnya kerjasama masyarakat untuk melaporkan perbuatan menyebarkan berita tidak sahih menyukarkan tindakan undang-undang diambil kepada pelaku kesalahan.

“Tindakan undang-undang (hanya) boleh diambil kepada mereka yang dilaporkan. Ini penting ya, kalau orang tak lapor (sukar untuk) tindakan diambil,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Fadhlullah Suhaimi berkata bagaimanapun tindakan undang-undang sepatutnya menjadi pilihan terakhir dalam menangani perkara itu dan usaha advokasi akan diteruskan dalam mengubah mentaliti masyarakat termasuk menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkan kepada pihak lain.

Menyebarkan berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga 18 Januari, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :