Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGAMAAGENDANASIONAL

Solat Jumaat, fardu di negeri PKP terhad ahli jawatankuasa masjid

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Solat Jumaat dan solat fardu di beberapa negeri yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari, dilaksanakan hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau.

Bagi negeri-negeri yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB) pula, kelulusan adalah mengikut had jemaah serta keluasan ruang solat dengan mengambil kira penjarakan fizikal, sekurang-kurangnya satu meter.

Di Selangor, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau ditangguhkan sepanjang pelaksanaan PKP, namun hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Bagi majlis akad nikah, ia akan dijalankan secara sidang video membabitkan pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah atau di masjid pengurusan.

Situasi sama di Sabah yang turut menangguhkan aktiviti solat Jumaat di masjid dan surau sepanjang tempoh PKP, bagaimanapun ahli kariah wajib melaksanakan solat fardu Zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan, namun dengan kapasiti terhad iaitu lima orang sahaja dan terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau terbabit.

Di Johor, pelaksanaan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan di semua surau dan masjid dengan jumlah jemaah dihadkan kepada 12 orang sahaja sepanjang PKP.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook baginda bertitah bagaimanapun, 12 jemaah tersebut adalah terdiri daripada pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

Mengenai majlis akad nikah, baginda bertitah ia hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pasangan pengantin dan wali dari daerah yang sama sahaja, serta telah memperoleh kebenaran berkahwin sebelum dari tarikh PKP.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata beberapa aktiviti di masjid dan surau ditangguhkan dalam tempoh PKP antaranya, solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta akad nikah.

Namun, terdapat beberapa perkara dibenarkan bagi meneruskan fungsi masjid dan surau iaitu azan dan solat fardu yang terhad kepada lima individu membabitkan imam, bilal, siak serta dua ahli jawatankuasa masjid, serta solat Jumaat yang hanya membabitkan 15 individu iaitu imam, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid.

Di Kelantan, hanya 50 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu di semua masjid bandar dan jajahan serta mukim negeri ini berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan had bilangan jemaah berkenaan perlu mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter pada setiap waktu.

Semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib dan Dhuha termasuk kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla di seluruh negeri juga ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB.

Di Kedah, semua masjid dan surau dibenarkan dibuka sejam sebelum solat fardu, manakala bagi solat Jumaat sejam setengah lebih awal sepanjang pelaksanaan PKPB di negeri itu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata bagi solat fardu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan keluasan ruang solat, dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Bagi zon jingga pula, bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan ruang solat utama masjid dan surau, juga dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Sementara itu, Negeri Sembilan membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat fardu dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini sehingga 26 Januari nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata SOP kali ini sama seperti PKPB dahulu iaitu antaranya jemaah perlu membawa sejadah mereka sendiri, memakai pelitup muka dan perlu mengambil wuduk di rumah selain had keluasan mereka melakukan ibadah itu adalah dalam ruang utama masjid sahaja.

Di Melaka, hanya 45 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau dan masjid sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula hari ini hingga 26 Januari depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata jumlah itu membabitkan kalangan kariah, pegawai, ahli jawatankuasa serta petugas masjid atau surau terlibat.

“Ruang solat utama masjid atau surau hendaklah ditutup sepenuhnya selepas pelaksanaan solat Jumaat.

“Bagi solat fardu lima waktu berjemaah pula, hanya lima orang yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hanya warganegara dan penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau atau masjid di negeri itu.

Selain itu, pengurusan dan solat jenazah boleh dibuat di masjid dengan kehadiran tidak melebihi 40 orang melibatkan pegawai masjid, petugas dan waris.

Pengurusan masjid juga hendaklah menyediakan ruang khas, tempat wuduk dan tandas bagi musafir yang singgah menunaikan solat.

– BERNAMA


Pengarang :