Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menyantuni petugas barisan hadapan menjalankan Saringan Bersasar Komuniti di Taman Bayu Perdana pada 3 Januari 2020. Foto Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

STFC pergiat Saringan Komuniti, sasar kadar jangkitan bawah lima peratus

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri mempergiat Saringan Komuniti bagi memastikan kadar jangkitan Covid-19 di bawah paras lima peratus.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata setakat ini kadar jangkitan berada pada paras tujuh hingga 25 peratus.

“Sekiranya 20 kes positif dikesan dalam kalangan 100 individu yang menjalani saringan, ini bermaksud masih banyak kes belum dikesan dalam kalangan komuniti.

“Justeru kita perlu melakukan langkah pencegahan bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas menteri kesihatan berkata STFC bakal melaksanakan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengekang gelombang ketiga wabak.

“Program ini merupakan kerjasama antara Kerajaan Selangor, majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan jangkitan pandemik di kawasan panas dan perimeter.

“Inisiatif ini bagi mengelak penularan di luar kawalan sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata kepadatan penduduk tinggi termasuk bilangan pekerja warga asing seramai 1.6 juta (tidak termasuk 1.5 juta pendatang tanpa izin) turut mempengaruhi peningkatan kes di Selangor.

“Justeru STFC mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sementara menunggu vaksin yang dijangka tiba pada bulan depan,” katanya.


Pengarang :