AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Kes Covid-19 tinggi, bilangan jemaah dihad demi keselamatan

SHAH ALAM, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan bilangan jemaah di masjid dihadkan demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam.

Berdasarkan kenyataan Selangor Royal Office, baginda bimbang jika menghadkan jumlah jemaah tidak dilaksana risiko peningkatan kes mungkin berlaku melihat kepada angka kes Covid-19 di negeri itu.

Baginda memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri ini yang belum boleh berjemaah solat fardu dan solat Jumaat di masjid kerana mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, beta kesal kerana ada segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya pentingkan diri sanggup memudaratkan jemaah lain jika masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

“Ketika ini, jumlah kes positif di Selangor telah mencecah lima digit dan tiga digit bagi angka kematian. Beta tidak mahu lebih ramai lagi mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian,” titah baginda dalam kenyataan.

Baginda turut menyeru tiada lagi pihak bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan dibuat sebulat suara pihak berwajib demi keselamatan umat Islam.

Tegas baginda, masjid dan surau ditutup tidak bererti amal ibadah juga terhenti sebaliknya boleh dilakukan di kediaman.

 


Pengarang :