Gambar Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirakam pada 1900 diambil daripada koleksi Sultan Selangor dan turut dimuatkan dalam buku fotografi Malay Peninsula. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah pelihara bangunan bersejarah ada kaitan Selangor

SHAH ALAM, 31 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menasihatkan pihak berkuasa memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di Kuala Lumpur, terutama yang mempunyai kaitan dengan negeri ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kebanyakan bangunan tersebut memiliki nilai sejarah tinggi dan menjadi tumpuan pelancong.

Baginda memberi contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada 1897 dan pernah menjadi pusat pentadbiran negeri semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor sehingga 1974.

Menurut istana, baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam bersama Kerajaan Selangor di bangunan tersebut pada 1968.

“Baginda bimbang jika bangunan dan monumen seumpamanya tidak dipulihara secepat mungkin dan terbiar dimamah usia, akhirnya ia akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan.

“Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya merugikan negara,” titah baginda sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok.

Menurut Sultan Selangor, Carcosa Seri Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTM, Istana Negara lama serta Stadium Merdeka yang sarat dengan kisah sejarah pembentukan negara kebanyakan mempunyai kaitan rapat dengan Selangor.

Baginda bertitah seni bina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan bersejarah sekitar Kuala Lumpur juga mempunyai cerita unik tersendiri dan perlu dipulihara untuk dihargai serta dikagumi generasi akan datang.


Pengarang :