Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan di panel khas ‘buffer tube’ selama 30 minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin analisa Standard F200 SD Biosensor untuk mengesan jangkitan Covid-19 dengan cepat ketika program saringan dijalankan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Syarikat industri, kilang digesa sertai program cegah penularan Covid-19

SHAH ALAM, 7 JAN: Syarikat perindustrian dan pengilangan digesa sertai program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Dr Yap Wei Aun berkata penyertaan dalam program anjuran agensi itu akan memberi impak besar dalam usaha negara mengawal pandemik berkenaan.

“POIS diperkenalkan kepada majikan seluruh Selangor terlebih dahulu kerana negeri ini mempunyai kadar tenaga kerja asing yang tinggi.

“Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor juga digalakkan menyertai program ini memandangkan negeri terbabit turut mempunyai kawasan perindustrian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor ketika ini giat mengenal pasti pihak majikan yang wajib menyertai inisiatif berkenaan.

“Mana-mana syarikat boleh mengambil peluang ini namun di peringkat awal, kita mengutamakan syarikat perindustrian dan pembuatan yang mempunyai bilangan pekerja ramai.

“Majikan yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang pois.selangkah.my serta melakukan pendaftaran,” katanya.

POIS yang mempunyai beberapa komponen dilancarkan bagi mencegah dan mengurangkan kluster jangkitan tempat kerja.

Ia turut melibatkan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain memerlukan kerjasama antara majikan, pekerja dan pihak berkuasa.


Pengarang :